Namun, dalam lautan kasih sayang sedalam apa pun, rasa malu dan cinta pada Allah mesti aku lebih aula-kan (utamakan). Betul tak? Rasa malu inilah yang menjadikan kita seringkali berkira-kira "Apakah Allah sayangkan aku?" dan "Apakah Allah terima taubatku yang selalu sangat melupakan-Nya, Ya Rahmaan, Ya Rahiim.. Berat sekali dosaku.. Malu sekali aku pada-Mu"
Dalam dunia ini, tidak ada seorang manusia pun yang terlepas dari melakukan dosa. Tidak ada seorang pun di antara kita, yang maksum seperti baginda Rasulullah s.a.w.
Seperti satu kata-kata hikmah,
" Every saint has a past, every sinner has a future."
Ya, semua manusia di dalam muka bumi ini pernah melakukan dosa. Namun, di antara pendosa-pendosa itu, siapakah yang terbaik di sisi Allah?
Sebaik-baik pendosa, adalah yang paling segera taubat serta pengembalian kepadaNya.
Jangan berputus asa dari rahmatNya
Bagi seseorang muslim, kita diharamkan untuk berputus asa dari rahmat Allah.
Dalam satu ayat, Allah ada berfirman,
" ... dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir."
[Surah Yusuf, 12: 87]
" ... dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir."
[Surah Yusuf, 12: 87]
Oleh itu, wahai hamba-hamba Allah, jangan sesekali kau berputus asa kepadaNya.
Biarpun mungkin, dosa yang kau lakukan itu setinggi gunung.
Biarpun mungkin, dosa yang kau perbuat itu seluas laut yang terdampar.
Biarpun mungkin, dosamu itu, lebih besar dari dunia dan segala isinya.
Jangan berputus asa dari rahmat Allah.
Yakinlah, seluas apapun dosa yang anda lakukan, sebesar mana pun ia pada mata anda, pengampunan serta rahmat Allah itu jauh lebih luas daripada dosamu itu.
Ya, percayalah.
Panggilan Allah, kepada kamu wahai orang-orang yang telah melampaui batas
Sungguh, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.
Apabila kita kembali kepada Allah dengan sebenar-benar pengembalian, maka pasti, Dia akan menghapuskan dosa-dosa kita, semuanya.
Ya, semuanya. Selagi mana kita tidak melakukan dosa mensyirikkan Allah (meletakkan sekutu bagiNya).
Allah s.w.t. ada berfirman di dalam kitabNya,
“ Katakanlah, 'Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
[Surah Az-Zumar, 39: 53]
SubhanAllah.“ Katakanlah, 'Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
[Surah Az-Zumar, 39: 53]
Lihatlah sendiri bagaimana Allah memanggil kita, hamba-hambaNya yang berdosa. Cukup indah.
Apakah kita tergamak membalas kasih sayang Allah, dengan terus membiarkan diri makin menjauh dariNya?
Kisah pembunuh 100 orang
Untuk membicarakan, betapa luasnya rahmat serta pengampunan Allah, kepada hamba-hambaNya yang berdosa, suka untuk saya bawakan satu kisah, seorang lelaki yang dalam hidupnya dia telah pun membunuh 100 manusia.
Yup, 100 orang!!!
Namun, apakah pintu pengampunan dari Allah itu masih terbuka untuknya?
Jom sama-sama kita susuri kisahnya... kisah ini saya ambil dari sebuah hadis muttafaqun 'alaih (riwayat bukhari dan juga muslim).
Al-kisah, ada seorang lelaki di kalangan umat terdahulu telah pun membunuh 99 orang.
Kemudian, lelaki itu berusaha untuk bertaubat atas dosa-dosanya itu. Untuk itu, dia pergi berjumpa dengan seorang pendeta, bertanyakan perihal dosanya - dia telah pun membunuh 99 orang, apakah dia masih diterima untuk bertaubat?
Kata pendeta itu, " Tidak dapat."
Kemudian, pendeta itu turut dibunuh oleh lelaki itu, melengkapkan bilangan manusia yang dia bunuh, genap 100 orang.
Ya, lelaki itu telah mengulangi dosanya lagi.
Namun, setelah itu, apakah lelaki itu dengan mudah berputus asa dari mendapatkan pengampunan Allah?
Mari sama-sama kita lihat.
Selepas membunuh pendeta tadi, lelaki tersebut berusaha lagi dengan berjumpa dengan seorang lagi alim, untuk bertanyakan tentang dosa yang dia lakukan. Kini, dia telah pun membunuh 100 orang, apakah taubatnya masih dapat diterima?
Dan orang alim itu pun berkata, " Ya, masih dapat. Siapa yang dapat menghalang-halanginya dari taubat itu. ...."
Orang alim itu turut mencadangkan lelaki tersebut ke suatu tempat lain, di mana orang-orangnya, menyembah Allah. Sekaligus, lelaki itu perlu meninggalkan tempat tinggalnya sekarang, kerana tempat itu dikatakan 'buruk'.
Lelaki itu pun menuruti saranan orang alim itu. Dan dalam perjalanan dia ke tempat tersebut, dia telah pun menemui ajalnya.
Malaikat kerahmatan dan malaikat keseksaan, bertengkar, memandangkan lelaki tersebut belum sempat bertaubat. Dia masih dalam perjalanan ke tempat untuk dia bertaubat tadi.
Namun, dengan keluasan rahmat Allah, akhirnya, Allah telah menetapkan syurga buat lelaki itu tadi.
Subhanallah.
Lihatlah lelaki itu tadi.
Kesungguhan dirinya, dalam kembali kepada Allah.
Walau seorang pendeta, yang dia berharapkan untuk membantunya, atas kesolehan dan ilmu agamanya, turut mengecewakannya.
Walaupun, dia sekali lagi telah jatuh ke lubang dosa yang sama, membunuh manusia yang ke-100 dalam hidupnya.
Dia tetap tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Terus berharap pada kasih sayangNya.
Dan, lihatlah juga betapa luasnya kasih sayang dan pengampunan Allah melalui kisah itu.
Kita seharusnya berasa malu untuk terus bergelumang dengan dosa, apabila kita memerhatikan, betapa banyak nikmat dan rezeki yang terus-menerus Dia kurniakan buat kita. Sedangkan, kita sering sahaja melupakannya, bahkan menggunakan nikmat yang Dia beri tadi, untuk melakukan kemaksiatan.
Astagfirullah.
Saya malu.
Anda?
Penutup: Pintu taubat itu masih terbuka
Jom kita kembali pada Allah. Pintu keampunanNya, sentiasa terbuka untuk kita.. .
Ayuh! Rebutlah peluang sebelum terlambat!!
No comments:
Post a Comment